MechAmato Wiki
MechAmato Wiki
Advertisement
Subpage Header Mechamato Movie No detail-1536x411


Selepas nahas kapal angkasa misterius mendarat di Bumi, seorang budak lelaki bernama Amato terserempak dengan robot berkuasa bernama MechaBot. Dengan mengakali MechaBot dan menjadi tuannya, Amato kini boleh menggunakan keupayaan unik MechaBot untuk Mekanisasi objek harian menjadi peranti berteknologi tinggi. Tanpa diketahuinya, MechaBot sedang diburu oleh makhluk asing sibernetik bernama Grakakus yang akan melakukan apa sahaja untuk memperoleh MechaBot atas rancangan jahatnya sendiri.

—Penerangan rasmi dalam web rasmi Monsta.

Mechamato Movie ialah filem prekuel kepada siri animasi Mechamato yang diterbitkan oleh Animonsta Studios dan pertama kali dikeluarkan pada 8 Disember 2022. Filem ini mengikuti asal usul Amato bertemu MechaBot dalam kapal angkasa penjara yang tumbang dan musnah di hutan berhampiran bandar Kota Hilir, yang akhirnya Amato menjadi tuan MechaBot dan kemudiannya diburu oleh Grakakus, pemburu Power Sphera yang jahat.

Sinopsis[]

Filem ini mengisahkan tentang seorang budak bernama Amato telah bertemu dengan MechaBot secara tak sengaja, apabila sebuah kapal angkasa terhempas di Bumi. MechaBot merupakan sebuah robot yang mempunyai kuasa Mechanize, iaitu boleh bergabung sesuatu benda dan menjadikan objek tersebut menjadi senjata yang berteknologi tinggi.

Plot[]

Permulaan[]

Filem bermula pada waktu senja ketika Amato berlatih silat di bawah tunjuk ajar Tok Sah, di mana dia diuji menggunakan jurusan-jurusan yang telah diajarkan, terutamanya untuk memadamkan api pelita di tengah gelanggang di Kampung Hilir. Satu demi satu gerakan lincah dan pantas yang dipamerkan diakhiri dengan jurusan genggam yang memadamkan nyala, tetapi sayangnya hanya untuk seketika dan menyala kembali. Amato terkilan dan bertindak sewenang-wenang dengan menghembus dan melakukan tepukan monyet ciptaan sendiri sehingga dihalang oleh Tok Sah yang menegurnya kerana bermain-main sambil memadamkan api pelita dengan genggam tangannya. Amato bercadang untuk bersilat untuk melawan kaki buli di sekolah, maka Tok Sah menegah kerana silat bukan untuk kekerasan. Melihat matahari sudah terbenam, Amato meminta diri dan bergegas ke rumah Pian.

Pada masa yang sama, di Penjara Angkasa berlangsungnya acara pertarungan antara dua robot banduan yang ditonton oleh robot-robot banduan lain dalam kurungan masing-masing. Antara banduan-banduan yang menonton ialah MechaBot yang merungut akan betapa membuang masa perlawanan tersebut. Dia diganggu oleh Bago Go, banduan bukan robot yang menjalankan tugas menjaja snek Boltcorn dengan begitu persuasif, lalu menyergah kerana sakit hati tercabar maruahnya sebagai Power Sphera. Bago Go meneka MechaBot cemburu kerana tidak dapat bertarung; MechaBot bersetuju dan mengidamkan untuk bertuan agar dapat menjuarai perlawanan dan bebas dari penjara. Belum disedari, Penjara Angkasa sedang diekori oleh kapal angkasa milik penyamun Power Sphera yang sudah lama memburunya dan sudah bersedia untuk menyerang.

Amato hadir di rumah agam Pian dan menemani sahabat karibnya yang sibuk menyiapkan ciptaan Pembancuh Koko Minda Cocoway-3000 untuk kelas reka cipta lusa. Pian kecewa dengan Amato kerana tidak giat membantu malah menggunakan latihan silat sebagai alasan untuk lewat, bahkan juga mengingatkannya untuk membentangkan projek sebagai membalas sumbangan atas penat lelahnya mengerjakan ciptaan kerjasama mereka selama tiga minggu. Amato keberatan kerana gerun hendak membentang di hadapan guru tetapi akhirnya akur dan membuat latihan demonstrasi bersama Pian sebagai bahan uji yang memakai Cocoway-3000 seperti topi keledar. Dalam demonstrasi, Pian berfikir hendak minum koko lemon, maka mesin membaca fikiran dan menyalurkan air koko lemon dari salah satu botol yang terpasang di keliling topi sampai ke dalam mulut. Demonstrasi berjalan dengan lancar dan mereka berdua pun gembira, malah Pian mengingatkan Amato untuk bersyukur kerana ada kawan yang memahami lakarannya yang "cakar ayam."

Tiba-tiba, kedengaran bunyi blip-blip dari komputer Encik Aman (bapa Pian), maka Amato dan Pian bergegas ke bilik komputer dan melihat paparan aneh di skrin; Pian menjelaskan bahawa itu kerja pemerhatian komet bapanya. Pian segera menelefon bapanya untuk pulang dan Amato pula menunggu dengan menatap gambar-gambar pencapaian Encik Aman yang menghiasi dinding. Pian memberitahu bapanya tentang "Komet Aman," maka bapanya yang berkata baru sampai di rumah pun bergegas. Amato tertanya mengapa namanya Komet Aman, maka Pian menjelaskan bahawa komet itu mula-mula ditemui oleh beliau. Encik Aman pun masuk dan melihat paparan, lalu dia hairan melihat objek yang dicerapnya terkeluar dari trajektori. Amato dan Pian mengambil kesempatan untuk menunjukkan ciptaan mereka kepada Encik Aman, malah Amato berterima kasih atas bekalan makmal yang disediakan untuk menyiapkannya, namun Encik Aman tidak dapat melayan mereka kerana cemas dengan situasi dan terpaksa keluar untuk melaporkan hal tersebut.

Penjara Angkasa dicerobohi oleh penyamun angkasa dan angkatan droidnya yang mengasari semua robot-robot sambil mencari Power Sphera yang diburunya. MechaBot mengecam penyamun itu sebagai Grakakus. Letupan-letupan yang terhasil daripada tembakan semberono droid-droid menyebabkan Penjara Angkasa hilang kawalan dan ditarik oleh graviti planet berdekatan, maka juruterbang segera mengaktifkan ciri-ciri penyerap bunyi dan penyamaran sebagai persediaan untuk terhempas.

Tibanya masa untuk Amato beredar dengan membawa ciptaan pulang ke rumahnya. Sebelum bertolak, dia memujuk Pian yang murung kerana cubaan memperkenalkan ciptaan tadi tidak kena pada masanya memandangkan bapanya sibuk. Setelah hilang rasa muram, Pian berpesan kepada Amato untuk menjaga Kokoway dengan baik, dan Amato pun bersalam dan pergi menunggang basikal. Dalam perjalanan, Amato leka membayangkan markah cemerlang yang akan diberikan oleh gurunya sehingga dia terlihat benda aneh jatuh dari angkasa dan terhempas. Tergempar, dia melencong ke arah tempat hempasan untuk menjenguk, tetapi tidak dapat menjumpai apa-apa. Semasa hendak bersambung jalan, roda basikalnya tersandung batu lalu dia terjatuh ke dalam gaung. Di situlah dia menyaksikan bangkai kapal angkasa gergasi iaitu Penjara Angkasa, dan di situlah juga dia menemui robot berbentuk sfera yang boleh bercakap iaitu MechaBot.

Amato bertemu dengan MechaBot[]

MechaBot terasa diancam dihampiri oleh Amato dan melepaskan tembakan amaran, menyebabkan pokok di belakang Amato tumbang. Datangnya pula robot besar berbentuk roket yang menyergah MechaBot kerana menembak, maka MechaBot pun berapat dengan Amato dan menipu bahawa dia disuruh oleh "tuannya" iaitu Amato. Robot besar yang bernama Troket itu mengacukan penembak ke arah Amato dan MechaBot, maka Amato bertindak mengalih perhatiannya dan berlari ke arah basikalnya. MechaBot mengikuti Amato lalu menumpang rak belakang basikal dan mencampak ciptaan Kokoway 3000.

Troket pun datang mengejar dan melancarkan peluru ke arah mereka, maka mereka pun menunggang laju-laju. Satu das tembakan membuat mereka tercampak, maka MechaBot bertindak segera dengan menggunakan kuasa Mechanize ke atas basikal Amato, menukarkannya menjadi motosikal supaya dapat melarikan Amato jauh-jauh sehingga tertinggal Troket. Dengan pantas mereka berdua tiba di rumah Amato, tetapi MechaBot tidak sempat menekan brek dan mereka pun terhempas pada dinding luar rumah.

Di tapak hempasan Penjara Angkasa, setelah mendengar laporan droid bahawa sasaran tidak dijumpai tetapi ada meninggalkan kesan, Grakakus mengarahkan droid-droidnya untuk bergerak keluar memburu MechaBot "sampai lubang cacing." Tanpa mereka sedari, hadirnya seorang pengintip bertopeng yang keluar dari berselindung dan mengumpul serpihan dari bangkai kapal.

Keesokan pagi, Amato terjaga dalam bilik tidur dan tertanya-tanya sama ada peristiwa malam semalam adalah mimpi atau benar. Bapanya Tok Aba datang menjenguk dan tertanya sama ada dia tertidur di luar semalam kerana mengusahakan projek sehingga lewat. Turut hadir ialah MechaBot yang terlena di atas lantai, disilap sangka oleh Tok Aba sebagai hasil projek anaknya. Dengan alasan projek belum siap, Amato lantas melarikan MechaBot turun melalui gelongsor ke garaj, di mana dia menyoal selidik robot berbentuk sfera itu.

MechaBot memperkenalkan dirinya sebagai "robot pemusnah yang paling hebat" di angkasa. Amato pula memperkenalkan diri siap dengan nama penuhnya tetapi disampuk oleh MechaBot yang tidak ingin tahu. Amato hairan bahawa MechaBot dapat bercantum dengan basikalnya dan memintanya bercantum dengan penyapu. MechaBot dengan keberatan bercantum dengan alat itu menjadi "MechaBlaster", tetapi Amato menggunakannya sebagai penyapu biasa, membuat MechaBot sebal. Amato tertekan bahagian picu, menyebabkan MechaBot terlepas tembakan kuat yang memecahkan dinding garaj.

Amato gembira dijadikan tuan MechaBot, tetapi MechaBot menyangkal kerana perihal dia mempertuankan Amato semalam hanya untuk melarikan diri dari ancaman. Sebaliknya, dia mencabar Amato untuk mengalahkannya dengan menyerahkan peranti Mechanizer malah menunjukkan butang pengesahan yang harus ditekan. Amato dengan licik menuruti telunjuk MechaBot; kesannya, Mechanizer berpancar dan mengimbas muka Amato lalu mengesahkan gandingannya dengan MechaBot. MechaBot terkilan kerana belum dikalahkan, maka Amato mengingatkan bahawa dia menggunakan akal.

Amato bertanya pula tentang butang pada tepi Mechanizer, membuat MechaBot gelabah dan berpesan bahawa itu hanya untuk menempah makanan. Amato tetap menekan butang berkenaan, menyebabkan MechaBot berubah bentuk menjadi sfera penuh dan bahasanya menjadi sopan, menerangkan bahawa itu Butang Kejujuran, ciri yang memaksanya bercakap benar. Amato menguji dengan bertanya siapa tuan MechaBot, maka MechaBot dengan polos memperakui Amato sebagai tuannya yang menggunakan kebijaksanaan untuk menewaskannya. Amato memadamkan ciri itu dan MechaBot pun kembali membentaknya.

Troket muncul secara mengejut dengan membuka bumbung garaj Amato setelah puas membuka bumbung rumah-rumah lain untuk mencari MechaBot, sekali lagi mengugut untuk membunuh MechaBot dan tuan baharunya. Amato gembira diperakui oleh robot bengis itu sebagai tuan MechaBot, tetapi MechaBot menyangkal lagi, jadi Amato sekali lagi memasang Mod Kejujuran demi keabsahan. Troket mula menembakkan peluru-pelurunya, menyebabkan Amato dan MechaBot terpelanting akibat letupan. Amato mendapat akal dan menggunakan MechaBot untuk me-mechanize beg sekolahnya menjadi jetpack, maka mereka pun terbang pergi ketika nyaris ditembak, malah MechaBot pun mengakui kepantasan akal Amato. Troket pun pergi mengejar mereka, meninggalkan kemusnahan ketara di jalan hadapan rumah Amato.

Kelahiran Mechamato[]

Sambil terbang, Amato menikmati pemandangan Kota Hilir dari udara dan juga sempat bertegur sapa dengan Pian yang menaiki helikopter. Tiba-tiba, Amato dilanggar sekawan burung camar dan MechaBot pun tertelan sedikit bulu burung, menyebabkan mereka goyah. Troket datang lagi menghambat dan menembak mereka, menyebabkan MechaBot terlerai dari beg dan mereka pun jatuh menjunam. Amato menggesa MechaBot untuk menyelamatkannya, tetapi MechaBot bernada sinis meminta cara menyelamat secara spesifik (semata-mata kerana mendambakan kebebasan mencari tuan baharu jika Amato terkorban). Amato mendapat akal dan meminta supaya dirinya dicantumkan, maka MechaBot pun akur dengan keluhan. Sambil MechaBot melitupi badan Amato dengan sut mekanikal logam, mereka terhempas di Jambatan Seri Dua, menyebabkan trafik terganggu.

Baru sahaja Amato bangun semula dari terhempas, Troket datang melepaskan hujan peluru ke jambatan, menyebabkan semua pengguna jambatan lintang-pukang meninggalkan kenderaan. Amato bertindak mencabut pintu kereta, dan MechaBot me-mechanize pintu itu menjadi perisai untuk menampan tembakan Troket. Kelihatan seorang ibu yang mengeluarkan anak perempuannya yang berkerusi roda dari van bakal ditimpa peluru, Amato terus pergi ke situ untuk melindungi mereka, namun letupan begitu kuat sehingga anak-beranak itu pun tercampak. Troket meluru ke arah Amato, maka atas cadangan MechaBot, Amato mencabut ekzos dari lori dan me-mechanize-nya menjadi suatu senjata seakan bazuka. Dia memancarkan tembakan yang begitu kuat sehingga Troket tercampak jauh dan peluru-pelurunya pun hancur.

Setelah pertarungan selesai, Amato yang masih memakai sut MechaBot pengguna-pengguna jambatan yang hairan bertanyakan nama penyelamat mereka. Amato dan MechaBot memperkenalkan diri serentak, menjadikan namanya berbunyi "Mechamato." Orang ramai tidak jelas terdengar namanya dan menyebut "Mat Tomato", "Mato Mato" dan sebagainya, jadi MechaBot sempat membetulkan mereka sebelum beredar. Gandingan "Mechamato" meminta diri dan beredar dengan terjun dari jambatan, tetapi selepas itu baru sedar sutnya tidak dilengkapi jetpack, jadi mereka terhempas pada pokok lalu jatuh ke tanah sudahnya. Saat menimpa tanah, Amato dilintasi oleh bayangan sesusuk makhluk berkulit ungu berwajah bujur tersengih ke arahnya lalu dicekik oleh tangan yang kekar. Tanpa disedari, aksi Mechamato tadi disaksikan oleh wira bertopeng dari malam semalam.

Pada waktu senja, Troket bangkit dari rebah dalam sungai, menggeram kerana kalah kepada seorang budak. Sebaik sahaja naik ke tebing, dia bertembung dengan sebuah droid Grakakus yang datang untuk menangkapnya. Tiba-tiba saja, droid itu diserang dari belakang oleh wira bertopeng dengan pedangnya sehingga hampir putus. Bagaimanapun, serangan itu berjaya dipatahkan oleh rakan-rakan droid yang lain, dan si droid yang malang itu dilarikan kembali ke kapal Grakakus untuk melaporkan kejadian diserang oleh orang tidak ketahui kepada tuannya. Juga dilaporkan oleh dron-dron bahawa Troket berjaya ditangkap bersama satu lagi banduan iaitu Bago Go, maka Grakakus turun dari kapal untuk menjenguk mereka dengan dimaklumkan bahawa mereka mempunyai maklumat tentang MechaBot.

Mula-mula, Grakakus menyoal Bago Go apa yang dia tahu, tetapi dibalas dengan jawapan main-main. Grakakus geram dan memisit Bago Go tentang MechaBot, jadi Bago Go pun mengaku sudah lama berkawan dengan MechaBot. Akan tetapi, Bago Go mengenakan bayaran untuk beri maklumat, jadi Grakakus naik darah dan mencekiknya dengan tangan kanan yang berjari-jari kabel logam. Troket membuka mulut bahawa MechaBot sudah bertuan baharu iaitu Amato, jadi Grakakus melepaskan Bago Go dan berikrar untuk menghapuskan Amato seperti tuan lama MechaBot.

Amato bersama MechaBot pulang ke rumah senyap-senyap, memasuki garaj dan beria-ia menelefon Pian untuk menceritakan peristiwa siang tadi. Akan tetapi, yang menjawab ialah Encik Aman yang hairan terdengar Amato berceloteh tentang makhluk asing dan robot-robot, jadi Amato memintanya menyampaikan pesanan kepada Pian untuk menelefon semula. Sebaik sahaja talian terputus, Encik Aman menahan sakit pada dada sambil menatap foto anaknya bersama Amato.

Penyamaran MechaBot[]

Keesokan harinya, Amato bersarapan bersama Tok Aba dan Umi sambil menghadap televisyen; MechaBot pun dibawa turun untuk menyamar sebagai ciptaan Amato yang tercicir kelmarin untuk dibawa ke sekolah kelak. Siaran televisyen memaparkan wartawan Ravi J. Jambul menemu bual pengguna Jambatan Seri Dua yang bercerita tentang kemunculan wira baharu yang diibaratkan dengan vigilante Maskmana. Amato kecil hati mendengar orang awam tersalah sebut namanya dengan salah dan tergumam menyebut nama yang betul "Mechamato"; ini menimbulkan sedikit perasaan syak pada Tok Aba, jadi Amato pun terdiam dan MechaBot pun berpura-pura menjadi pembancuh koko automatik. Laporan diakhiri dengan juruhebah di studio memesan orang ramai untuk melaporkan sebarang insiden mencurigakan kepada pihak berkuasa dan mengelak daripada bertindak sendirian. Tok Aba mengulangi pesanan juruhebah kepada Amato agar tidak bertindak sendirian seperti Maskmana, dan Amato pun meminta diri dan bertolak ke sekolah bersama MechaBot.

Sambil menunggang basikal ke sekolah, Amato gelisah kerana khuatir rahsianya tentang MechaBot akan terbongkar. MechaBot berpesan untuk berpura-pura tidak tahu-menahu, tetapi disanggah oleh Amato. Amato dihalang oleh pasangan pembuli Bula dan Bili dan tertanya mengapa mereka tidak ke sekolah. Bula dengan sinis menjawab bahawa dia sudah terlalu pandai untuk bersekolah, malah dia mahu memeras "duit tuisyen" 10 ringgit, sementara Bili mencampak Amato dari basikalnya. MechaBot geram melihat tuannya dikasari, bangun dan bersedia untuk menembak, tetapi Amato melarang, jadi MechaBot pun jatuh dan berjeda. Amato merayu untuk dikurangkan bayaran kepada lima ringgit, jadi Bula pun bersetuju, dan Bili menjungkirkan dan menggoncangkan Amato untuk mengeluarkan duit syiling.

Sebaik tiba di sekolah, MechaBot meluahkan rasa kecewa dengan Amato kerana gagal melawan balik pembuli tadi; Amato menjelaskan bahawa dia dilarang oleh Tok Sah, malah mereka perlu berhati-hati supaya rahsia tidak terbongkar dan MechaBot perlu menyamar sebagai Kokoway 3000 untuk pembentangan. Datangnya Deep bersalam dan kagum melihat "projek" reka cipta Amato, dan tidak lupa juga menunjukkan ciptaannya sendiri iaitu "Speed Split Sikat." Amato ragu-ragu kerana hanya melihat dua batang sikat yang biasa, jadi Deep menunjuk cara dengan menyikat rambutnya dengan kedua-dua sikat sekali gus, "menjimatkan masa sebanyak 50 peratus." Amato langsung tidak tertarik dan mendandan semula rambutnya semula sambil mereka ke kelas.

Di bilik kelas, Amato bersiap dengan MechaBot dan tertanya-tanya di mana Pian yang mejanya di sebelah kanan Amato. Pian akhirnya tiba dengan menaiki helikopter; sebaik sahaja masuk kelas, dia bertanya tentang jetpack semalam. Amato tidak sabar untuk menceritakan, tetapi pada masa yang sama tibanya Cikgu Jamie mengendalikan pembentangan reka cipta. Sebelum bermula, Cikgu Jamie memperkenalkan pelajar baharu yang berkerusi roda iaitu Tamara atau nama timangannya Mara; Amato mengecamnya sebagai budak perempuan dari semalam, dan Mara pun menjeling ke arahnya, maka Pian bertanya sama ada Amato mengenalinya.

Cikgu Jamie berteriak memanggil Amato dan Pian untuk membentangkan ciptaan, maka mereka pun tampil dan Amato pun membawa MechaBot. Pian segera menyedari barangnya tidak serupa dengan ciptaannya malah tidak dapat dipakai di kepala seperti dahulu, jadi Amato membuat alasan melakukan pengubahsuaian. Amato dengan gementar dan terhegeh-hegeh menjalankan demonstrasi spontan dengan MechaBot, merunsingkan Pian dan seluruh kelas. Usahanya pun dinilai gagal oleh Cikgu Jamie.

Selepas waktu sekolah, Amato dan Pian duduk di tepi sungai sambil merenungi kegagalan reka cipta mereka; lebih menyedihkan apabila Deep berhampiran meraikan kelulusan Speed Split Sikatnya dari pembentangan tadi. Amato menggesa MechaBot untuk membongkar dirinya kepada Pian dan mengesahkan ceritanya, tetapi MechaBot ingkar. Pian mengeluh bahawa cerita robot Amato sedang merenggangkan persahabatan mereka. Amato mengugut untuk menekan butang Kejujuran, maka MechaBot pun membuka mulut dan menarik perhatian Pian.

Didesak oleh Amato, MechaBot pun mendemonstrasikan kuasa mechanize ke atas penyapu yang tersandar pada tong sampah, menjadi MechaBlaster, kemudian Amato menembak ke sungai dengan MechaBlaster itu untuk menghasilkan letusan air yang hebat, membuat Pian berasa takjub dan seronok. Amato menyuruh MechaBot bercantum dengan basikalnya, tetapi MechaBot enggan lagi. Amato memujuk dengan memerli MechaBot sebagai gagal dan kemampuan terhad, jadi MechaBot akur dan bercantum dengan basikal menjadi motosikal MechaBike.

Sambil mereka menaiki MechaBike, Amato membisik kepada Pian untuk menyimpan rahsia MechaBot, tetapi tiba-tiba Mara muncul dan menyampuk mereka, membuat mereka terperanjat dan berpura-pura menguji "motosikal" yang biasa. Mara menuduh Amato menyebabkan kerosakan pada kerusi rodanya dalam peristiwa jambatan semalam dan menuntut ganti rugi. Amato cuba menafikan, tetapi Mara mengecamnya sebagai "Mat Tomato", membuat Amato lantas menyebut betul "Mechamato."

Kejar-mengejar sekitar kota[]

Tiba-tiba pula, datangnya salah satu droid Grakakus cuba merampas MechaBot, jadi Amato pergi melawan droid itu secara bersilat walaupun terpaksa menahan sakit daripada menumbuk tubuh besinya yang keras. Keadaan bertambah genting apabila droid itu mengeluarkan senjata api dan menembak-nembak, lebih-lebih lagi ada dua lagi droid datang membantu. Amato melarikan diri dengan menunggang MechaBike. Pian menyeru Amato untuk bergabung jadi "Mat Tomato", dan Amato berbalas dengan menyebut betul "Mechamato" sekali lagi.

Amato menunggang MechaBike menelusuri persiaran pasar Jonker Walk di mana mereka terlanggar kereta sorong yang mengangkut ayam hidup. Droid-droid pun datang menyerang mereka dengan menembak ke merata pasar, tetapi Amato dan MechaBot selamat keluar dari persiaran itu. Mereka melarikan diri ke jalan besar tetapi dikejar lagi oleh satu droid yang mengayunkan kapak lembing, jadi Amato berpusing ke belakang dan menangkis serangan dengan terajang. Kejar-mengejar sampai di kesesakan lalu lintas di mana Amato dan MechaBike mencelah-celah kenderaan untuk meloloskan diri, kemudian melompat jauh ke seberang sungai dan menuju ke kawasan Dewan Bandar.

Pada masa yang sama, di Dewan Bandar sedang berlangsungnya pertandingan beca berhias yang dirasmikan oleh Datuk Bandar Andy, malah diserikan oleh persembahan nyanyi sambil menari oleh kumpulan Brother Beca Boys. Dalam kalangan hadirin adalah Deep yang sedang mengagumi pelbagai jenis beca berhias yang diperagakan, seperti "Beca Becarita" Pak Kamis yang umpama perpustakaan bergerak dan "Becantum" Pak Senin yang umpama kereta limousin. Juga hadir ialah Pak Sasa dengan beca biasanya yang habis diperli oleh Pak Kamis sebagai besi buruk.

Pada ketika inilah Amato dan MechaBot terpelanting dari ledakan peluru droid dan jatuh ke dalam tempat acara. Amato lantas menyuruh MechaBot mechanize "besi buruk" itu, membuat Pak Sasa makin kecil hati. MechaBot bergabung dengan beca Pak Sasa menjadi MechaBeca. Melihat droid makin menghampiri, Amato memandu MechaBeca pergi, membawa Pak Sasa sekali. Deep menyangka bahawa itu projek reka cipta terbaharu Amato.

Amato membawa MechaBeca berpusing-pusing di sekitar dataran Bangunan Merah selaju yang boleh, tetapi droid berkenaan akhirnya menghambat mereka dengan mendarat pada bumbung beca. Amato membawa beca membelok-belok dan memecut untuk cuba menjatuhkan droid itu tanpa menghiraukan Pak Sasa yang tunggang-langgang di tempat penumpang, sehingga mereka terlanggar bonggol jalan dan akhirnya droid tercampak sampai terlanggar gerbang dan akhirnya rebah dan ditimpa konkrit yang runtuh.

Ancaman belum reda kerana ada droid-droid lain datang mengejar. Pak Sasa hendak turun tetapi Amato dan MechaBot bergegas lagi tanpa endah, membuat dia terguling balik ke dalam beca. Sekali lagi mereka membelok-belok dan menggelincir untuk mengelak tembakan peluru droid (sambil bertunafoto tanpa sengaja dengan pengunjung-pengunjung yang berswafoto di tempat acara) sehingga mereka turun ke jeti sungai. MechaBot segera memasang mod terbang dan membawa Amato melayang pergi sementara Tok Sasa terjatuh di hujung jeti dan menyambut pelancong asing yang tersilap sangka dialah pemilik beca terbang.

Sementara itu, Pian bersama Mara menaiki motobot menelusuri Sungai Hilir. Pian kesal kerana tidak dapat menghubungi bapanya. Mara bertanya sama ada Aman Askandar bapa Pian, jadi Pian pun mengia. Mara berkata lagi bahawa dia telah membuat kajian tentang Kota Hilir sebelum berpindah masuk, malah dia membuat perbandingan antara Maskmana yang memakai sut teknologi canggih dan Encik Aman selaku pelopor teknologi canggih. Pian menganggap Mara menyamakan bapanya dengan Maskmana dan mengeluarkan majalah yang terpampang Encik Aman dan Maskmana berduaan pada kulit depan.

Pertembungan sulung Mechamato dengan Grakakus[]

Hari sudah pun gelap, dan MechaBot yang ditunggang oleh Amato masih mengawang di langit dalam mod MechaBeca, menarik nafas lega kerana tidak dikejar lagi. Amato menyoal MechaBot mengapa dia diburu, maka MechaBot menjawab dengan berdalih bahawa dia dicemburui sebagai robot yang paling kacak. Amato pun sangsi dan memasang Mod Kejujuran untuk memisit MechaBot untuk hal sebenar, maka MechaBot dengan polos menjelaskan robot-robot itu dihantar untuk menangkapnya oleh Jeneral Grakakus, seorang pengumpul rakus yang mendambakan Power Sphera jenis perisai seperti dirinya. Amato bertanya lagi apa itu Power Sphera, maka MechaBot menerangkan bahawa ianya jenis robot berteknologi tinggi yang memberikan kuasa, dan kuasanya ialah Mechanize.

Amato bertanya sama ada dia sudah lama melarikan diri dari Grakakus, maka MechaBot menceritakan bahawa dia berlari semenjak tuan lamanya dibunuh oleh Grakakus, maka dia menyerahkan diri kepada Penjara Angkasa untuk mengelak dari dikesan. Tambahnya lagi, memandangkan Amato tuan baharunya, Grakakus perlu membunuhnya untuk mendapatkan MechaBot, membuat Amato naik gelisah. MechaBot memujuknya berfikiran positif kerana "kebarangkalian itu berlaku hanya 99 peratus," dan itu hanya memburukkan lagi kegelisahan Amato; tambah MechaBot, tuan lamanya sentiasa berfikiran positif sehingga dia dibunuh.

Tiba-tiba, Amato dan MechaBot ditimpa peluru roket dan menjunam dari langit ke kawasan pelabuhan lalu terbabas pada kontena yang terangkat. Peluru itu datang dari Troket yang datang bersemuka lagi dengan mereka, kali ini diiringi oleh Grakakus yang terbahak-bahak dalam kegembiraan kerana berjumpa semula dengan robot buruannya. MechaBot menggeletar dalam ketakutan sementara Amato memberanikan diri dan berlela silat terhadap pemburu yang bertubuh besar itu. Grakakus memanjangkan jari kabel ke arah Amato, tetapi MechaBot sempat mengetepikan Amato sebelum tertangkap.

Amato bergabung dengan MechaBot menjadi Mechamato sambil menepis setiap serangan kabel Grakakus yang selanjutnya. Grakakus geram melihat MechaBot digunakan dan beralih kepada senjata blaster dan menembak. Mechamato berjaya mengelak, tetapi tembakan terkena timbunan kontena dan membuat ia runtuh; mujur Mechamato terselamat dari terhempap. MechaBot semakin cemas, mengambil alih kawalan sut dan tergesa-gesa membuka-buka kontena untuk mencari benda yang sesuai untuk di-mechanize. Setelah membuka kontena berisi tisu gulung, Amato mendapat idea.

Grakakus datang mencari-mencari Mechamato dalam celah-celah kontena, sehingga dia ditimpa bom tangan yang meletup sampai terpelanting. Rupa-rupanya bom itu tisu yang di-mechanize oleh Mechamato, dan dia pun melemparkan banyak lagi sebagai "kenang-kenangan" untuk lawannya. Terkesan dari mengharungi ledakan bom-bom tisu Mechamato, Grakakus mengambil kesempatan dengan menarik turun kren di belakang Mechamato untuk menghempapnya. Tumbangnya kren menyebabkan kontena-kontena di hadapannya pun jatuh, dan Mechamato berlumba-lumba menyelamatkan diri dari runtuhan sehingga melonjak ke arah kapal kontena yang berlabuh berdekatan. Malangnya, kapal itu juga hancur ditimpa kren, jadi Mechamato terjunam ke dasar kapal. Grakakus pergi menghampiri mereka sementara MechaBot bercadang untuk mechanize salur paip yang dijumpai dalam kapal.

Apabila Mechamato mencabut paip itu, tibanya Grakakus melancarkan jejari kabelnya. Amato mengarahkan MechaBot untuk mechanize paip itu, tetapi MechaBot terganggu fikiran dan menyebabkan Amato mengalami satu lagi bayangan masa lampau, di mana dia menyaksikan tuan lama MechaBot yang sedang memakainya sebagai baju zirah dalam keadaan hampir kecundang melawan Grakakus. Grakakus menuntut bahawa MechaBot diserahkan, namun tuan lama enggan, lalu dia menanggalkan dan menghumban MechaBot keluar dari pelantar, mengucapkan selamat tinggal sebelum ditetak oleh Grakakus di pelantar runtuhan yang meletup-letup.

Maskmana datang menyelamat[]

Grakakus bersiap sedia untuk menangkap Mechamato yang baru habis mengalami bayangan, tetapi tiba-tiba lampu pelabuhan terpadam satu demi satu membuat dia hairan, malah Troket yang tolong berjaga pun ditembak jatuh. Munculnya Maskmana, vigilante bertopeng dengan sut bersinar, mengucapkan "Bismillah", mengeluarkan dua Dron Kerisis sambil melela. Amato sempat merenungi Maskmana lalu pengsan. Grakakus mengecam Maskmana sebagai perosak droidnya dan mula bertarung, dan Maskmana pun mengeluarkan keris cahaya untuk berlaga sambil mengawal dron untuk mengacau lawannya. Grakakus menepis dron-dron dan cuba menahan Maskmana dengan jejarinya, namun Maskmana menangkis dengan keris, melonjak ke arah lawannya dan menggunakan dron sebagai peledak elektromagnet untuk menyerang Grakakus sampai jatuh.

Grakakus bangun semula, mengolah jejari kabelnya menjadi gerudi dan menyerang. Maskmana bersiap dengan memasang perisai pelindung untuk menampan. Grakakus terus menggerudi perisai Maskmana kuat-kuat sehingga pecah dan nyaris tergores Maskmana, namun Maskmana segera mencengkam tanduk topi keledar Grakakus untuk mengangkat dirinya dan menerajang lawannya di bahagian perut. Sementara Grakakus menahan sakit dari serangan tadi, Maskmana pergi mencari Amato. Namun, Grakakus bangun lagi, membelit dan menghumban Maskmana dengan jejarinya lalu memijak-mijak topengnya. Maskmana sempat mengawal Dron Kerisis untuk memancarkan silauan kepada Grakakus, kemudian dia bangun dan melarikan Mechamato dari pelabuhan.

Pian sambil menunggu kepulangan bapanya sambil membawa Mara melawat tempat kerja bapanya di Menara Destar. Mara kagum melihat koleksi arca-arca di pejabat Encik Aman. Encik Aman pun tiba dan disambut oleh Pian yang bertanya mengapa panggilan dan mesejnya tidak dijawab-jawab; alasannya, dia tertinggal telefon di makmal. Pian memperkenalkan Mara kepada bapanya dan Mara pun meminta tolong mencari Amato. Encik Aman berkata dia baru berjumpa dengan Amato; ditanya sama ada Amato dikejar sesiapa, jawabnya tidak. Mara meminta diri, tetapi kerusi rodanya berkerik-kerik kerana rosak, jadi Encik Aman terdahulu melakukan pembaikan segera pada rodanya. Encik Aman menghantar Mara pergi sekali dengan Pian dengan alasan ada kerja.

Amato sedar dari pengsan di makmal bawah tanah dan disambut oleh Tok Sah yang memakai anduh di lengan kanan. Sambil menahan sakit, dia bertanyakan MechaBot, jadi Tok Sah menunjukkan bahawa Power Sphera itu juga sedang dibaiki. Amato juga melihat topeng Maskmana tersimpan dalam balang kaca dan bertanya sama ada Tok Sah adalah Maskmana. Tidak sempat terjawab, Encik Aman datang menghulurkan ubat kepada Amato. Amato hairan dengan kehadiran Encik Aman dan mengajukan soalan yang sama. Datuk Andy muncul dan menjawab bahawa dirinya, Encik Aman dan Tok Sah – mereka bertigalah Maskmana. Amato meminum ubat yang diberikan oleh Tok Sah, tetapi kemudian terluah kerana pahit. Tok Sah turut minum dan menjelaskan bahawa ianya campuran perubatan moden dan tradisional, jadi Amato pun minum sampai habis.

Amato pun menyedari lengan Tok Sah yang beranduh dan bertanya sama ada dia yang menyelamatkannya, maka Tok Sah mengia. Amato berterima kasih, dan Tok Sah pun berpesan agar bersyukur dia datang tepat pada masanya. Amato bertanya pula bagaimana tiga orang boleh jadi Maskmana, jadi Encik Aman menjelaskan bahawa mereka bergilir-gilir memakai sut Maskmana mengikut kesesuaian, malah dia juga menunjukkan spesimen Spheranium, sejenis logam yang sukar ditemui yang digunakan untuk membuat sut tersebut. Amato mengecam benda itu dari serpihan kapal angkasa, maka Tok Sah mengesahkan bahawa itulah sebab Encik Aman menjejaki "kometnya" yang rupa-rupanya kapal angkasa.

Encik Aman menerangkan lagi bahawa sut Maskmana dilengkapi dengan teknologi kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin untuk "belajar sendiri." Amato bertanya kerana kurang jelas, jadi Tok Sah menjelaskan lebih ramai penggunanya, lebih cepat ia belajar. Amati hairan akan adanya sut belajar sendiri, jadi Encik Aman menjelaskan bahawa Tok Sah (yang dipanggilnya Asah) dipilih kerana kemahiran pencak silat dan Andy pula kerana perancangan taktikal dan juga menutup rahsia. Oleh itu, Amato menyimpulkan bahawa identiti Maskmana tidak diketahui kerana berbilang penggunanya.

Tok Sah membuka pintu besi untuk mendedahkan bilik yang menyimpan pelbagai robot dari angkasa, membuat Amato takjub. Encik Aman berkata ada banyak lagi robot di luar, maka Amato menawarkan diri untuk membantu dengan menggunakan kuasa MechaBot. Kata-kata itu mengundang sanggahan daripada ketiga-tiga penyandang Maskmana, lebih-lebih lagi Datuk Andy yang mengecam tindakan Amato berlagak seperti wira, jadi Amato pun terkilan. Tok Sah memujuk Amato bahawa wira lahir bukan dari kuasa, tetapi dari keberanian dan tanggungjawab; Amato termenung mendengar nasihat itu.

Datuk Andy bersungut bahawa pasukan Maskmana berusaha menjalankan operasi memburu robot secara senyap sehingga Amato masuk campur sehingga terbawa robot-robot itu pergi membahayakan orang awam. Amato mengaku tidak sengaja, tetapi Encik Aman bertanya sama ada insiden di jambatan pun tidak sengaja, membuat Amato termenung. Tok Sah meminta Amato supaya bertanggungjawab kerana MechaBot mempunyai kuasa yang hebat dan bertanya sama ada robot itu miliknya; Amato pun mengia. Datuk Andy menyatakan rasa kesal bahawa MechaBot telah disepadukan dengan Amato dan beredar untuk pergi 'membersihkan' sesuatu. Melihat Amato bermasam muka, Tok Sah berpesan agar tidak mengambil hati dengan kata-kata Datuk Andy kerana hatinya baik di sebalik kata-kata kasarnya.

Perpisahan?[]

Hari sudah pagi, dan Grakakus meraung dalam kekesalan kerana usaha mendapatkan MechaBot dipatahkan oleh pahlawan bertopeng semalam. Dia memilih beberapa Power Sphera dalam koleksinya untuk dicantumkan dengan baju perisainya sambil membayangkan alangkah baiknya jika semua yang dipakainya di-mechanize dengan Power Sphera yang diburu-burunya, lalu dia menghidupkan kapal angkasanya untuk bertolak.

Amato turun bersarapan dengan seluruh badan dilekat dengan plaster, setelah dihantar pulang semalaman oleh Tok Sah. Umi hairan melihat anaknya dan menyangka dia cedera dari berlatih silat; Tok Aba berpesan biasalah anak muda berlatih kasar-kasar, jadi Umi pun bersyukur kerana tempat latihannya dekat. Televisyen pun terpasang memaparkan siaran langsung temu bual Ravi J. dengan Datuk Bandar Andy berkenaan pertandingan beca semalam. Amato sebal melihat betapa jauh bezanya pembawaan datuk bandar itu dengan pertemuan semalam. Ravi J. menyatakan bahawa di samping beca-beca berhias yang menarik juga terdapat pertunjukan khas kejar-mengejar robot, maka Andy pun segan-segan menjawab bahawa robot-robot itu disumbangkan oleh syarikat Destar.

Ravi bertanya pula tentang 'gimik' beca terbang, jadi Andy pun membawa Tok Sasa ke mari dan memperkenalkannya sebagai rakan usaha sama beca terbang dan juga juara pertandingan, membuat Pak Senin dan Pak Kamis sebal. Amato gelisah melihat rahsianya nyaris terbongkar dan terus memadamkan televisyen. Tok Aba terkilan dan bertanya mengapa Amato, dan Amato pun meminta diri untuk keluar berjumpa dengan kawan.

Di makmal bawah tanah Destar Corp, MechaBot pun kembali sedar dan tertanya-tanya akan Amato lalu terlihat serpihan Penjara Angkasa dalam balang kaca. Yang turut hadir ialah Encik Aman yang bukan sahaja sedang membaiki MechaBot malah meleraikan persepaduan sistemnya dengan Amato. MechaBot terkilan akan tindakan itu, maka Encik Aman memujuk bahawa kuasanya terlalu berbahaya untuk anak muda seperti Amato. MechaBot teragak-agak, tetapi Tok Sah pun hadir memujuknya kerana khuatir Amato akan sentiasa dalam bahaya jika tidak diasingkan.

Encik Aman mendapati bahawa sistem MechaBot boleh dipintasi dan akan ditafsirkan kodnya. MechaBot bertanya sama ada Encik Aman hendak menggunakannya, jadi Encik Aman mengesahkan niatnya dengan sebab Maskmana memerlukan kuasa MechaBot untuk menewaskan Grakakus. Tok Sah menanya Encik Aman sama ada Amato boleh menerima keputusan mereka; Encik Aman mengeluh bahawa keputusan tidak patut dipersoalkan. Tok Sah kasihan memandang MechaBot yang termenung mengenang nasib Amato.

Amato menjadi sasaran[]

Amato duduk seorang diri di jeti sungai sambil termenung. Tiba-tiba, dia ditarik ke belakang oleh Mara yang takut dia akan terjatuh. Pian pun hadir dan bertanya di mana MechaBot. Amato pun menjawab bahawa MechaBot rosak dan sedang dibaiki oleh Maskmana yang menolongnya mengalahkan robot semalam. Pian terkejut mendengar nama itu dan tertanya-tanya sama ada Amato sempat mendapat autograf; Mara pun menegur Pian kerana tidak mempertimbangkan bahawa Amato tidak mungkin sempat meminta autograf ketika melawan, jadi Pian pun kesal kerana rugi. Amato pun cuai dan nyaris memesan Pian untuk meminta autograf daripada penyandang Maskmana, tetapi akhirnya sempat mengunci mulut.

Bula dan Bili pun datang ke jeti untuk mengumumkan hari ini hari Amato dan Pian dibuli. Pian naik gemuruh dan meragui hal itu, maka Bula meminta Bili membuka buku jadual di mana dia menunjukkan Amato dan Pian akan dibuli pada hari ini dan keesokan. Amato bertanya mengapa sampai dua hari; Bula menjawab itu untuk diskaun sebagai kawan. Mara pun hairan mempersoal tindakan pembuli berjadual, maka Bula menerangkan bahawa pembuli yang berjaya haruslah berdisiplin dan bijak mengatur. Pian berbisik memujuk Amato untuk bersilat melawan Bula dan Bili, tetapi Amato enggan kerana dilarang menggunakan kekerasan oleh Tok Sah. Bula pun berpaling kembali kepada mereka, dan Amato mengalihkan perhatiannya dengan menunjuk ke arah "kambing menyelam." Bula terpandang ke sungai, dan Bili pun menyeru bahawa Amato telah melarikan diri. Amato di pangkal jeti pun berdegar-degar akan akal panjangnya dan beredar, jadi Bula dan Bili pun rimas dan pergi mengejarnya. Pian pun menarik nafas lega dan keluar dari berselindung di belakang kerusi roda Mara. Tiba-tiba, mereka digugat lagi oleh sesuatu yang besar.

Bula dan Bili pergi ke lorong belakang kedai untuk memburu Amato. Kebetulan pula Amato sedang bersembunyi di situ, menarik nafas lega setelah mereka berlalu. Tiba-tiba, datangnya sebuah droid Grakakus mengancam Bula dan Buli; Amato pun keluar dan tertarik perhatian droid. Droid itu menembak ke arah Amato, tetapi Amato bolos dengan memanjat kedai hingga ke bumbung. Droid melaporkan bahawa MechaBot tidak kelihatan pada Amato, jadi Grakakus menyuruhnya hapuskan budak itu dan cari MechaBot sehingga jumpa. Kejar-mengejar berterusan apabila droid menaiki bumbung lalu terlihat Amato terjun. Droid itu pun turun dan tercari-cari, tetapi akhirnya diserang hendap oleh Amato yang meluncur keluang pada kabel lampu jalan lalu menerajangnya sampai jatuh ke dalam sungai.

Ancaman belum reda kerana kapal angkasa Grakakus pun muncul di Kota Hilir dan menembak-nembak ke arah Amato, menyebabkan keadaan menjadi huru-hara. Lebih teruk lagi apabila landasan monorel bandar termakan tembakan dan terputus, jadi Amato lekas menuju ke stesen untuk cuba menghentikan tren. Dia menjumpai suis landasan di pelantar atas dan cuba menuasnya tetapi tercabut. Tren monorel terkendali secara automatik tanpa jurumudi, maka ia tidak dapat dihentikan lalu mula menjunam di tempat landasan terputus. Pada saat genting ini mujurlah Dron Kerisis datang menolak tren kembali ke landasan, dan Amato pun hairan melihatnya. Gerombolan droid Grakakus pun mendarat di pelantar dan mengepung Amato, tetapi Maskmana sempat muncul dan menjatuhkan mereka semua.

Amato memasuki tren untuk membantu mengungsikan penumpang-penumpang. Pada masa yang sama, Grakakus turun dari kapal angkasanya dan mendarat pada landasan, menyebabkan tren tertanggal dan terjatuh lagi. Mujur Maskmana sempat menyelamatkan Amato apabila tren itu terhempas. Grakakus turun dan melontarkan bebola api ke arah Amato di dalam runtuhan tren sambil bertanya di mana MechaBot. Maskmana melonjak dengan bantuan dron lalu menampan bebola api, menyebabkan letupan yang amat kencang sehingga landasan selebihnya pun runtuh dan menghempap bangkai tren.

Maskmana memandang ke arah runtuhan dan tidak dapat mengesan kelibat Amato. Grakakus yang tidak serik mengganas diganggu pula oleh seorang kanak-kanak kecil yang membaling batu dan mengutuk tindakan jahatnya. Dia pergi mengancam kanak-kanak itu tetapi sempat dihalang oleh Maskmana yang mengaku MechaBot bersamanya. Oleh itu, Grakakus melapangkan sayap dari baju perisai dan pergi mengejar Maskmana di awangan. Sementara itu, Amato muncul dari runtuhan dengan selamat dengan bantuan Dron Kerisis.

Klimaks[]

Andy yang memakai sut Maskmana terbang menuju ke arah Menara Destar sambil menghubungi Tok Sah tentang kemajuan pengasingan MechaBot; Tok Sah menjawab 85 peratus. Ketika hampir tiba, Andy ditembak dari belakang lalu jatuh tersungkur pada helipad bangunan, jadi dia terpaksa merangkak mencari tempat persembunyian. Grakakus pun mendarat dan sekali lagi menyeru MechaBot diserahkan. Encik Aman keluar dari bangunan untuk mengambil alih sut Maskmana daripada Andy. Sementara itu, Amato menaiki salah satu Dron Kerisis terbang menuju ke Menara Destar, sambil mengomen betapa tinggi letaknya di kawasan bukit.

Encik Aman menghubungi Tok Sah akan kemajuan pemindahan kuasa MechaBot; Tok Sah di makmal menjawab ia hampir siap dan meminta rakan sekerjanya bersabar. Pada masa yang sama, Amato tiba di pintu automatik kaca makmal dan mengetuk-ngetuk untuk mendapat perhatian Tok Sah dan MechaBot. Encik Aman sebagai Maskmana melonjak keluar dari persembunyian sambil menyeru Dron Kerisis untuk menghadapi Grakakus. Amato bersusah-payah mengumpil buka pintu automatik makmal, tetapi apabila Dron Kerisis keluar dari makmal, pintu automatik pun terbuka dan Amato pun mengambil kesempatan dengan menyusup masuk.

Setelah dron-dron tiba di samping Encik Aman, Grakakus mengecil-ngecilkan 'mainan' musuhnya dan terus menyerangnya dengan segala kelengkapannya. Encik Aman bercantum dengan dron untuk melonjak lalu menembak Grakakus dari atas. Grakakus segera menangkis tembakan dan pergi berbalas tembakan dengan Maskmana di langit. Begitu sengit pertarungan ini sehingga ada sekali Grakakus melemparkan bebola kilat ke arah Maskmana, dan Maskmana pun mengelak tetapi bebola terkena helikopter sehingga ia tersangkut di tebing. Encik Aman mencantumkan dron-dronnya menjadi sebentuk Keris Kerisis lalu menetak Grakakus sampai jatuh telantang di atas helipad. Grakakus dilihat dalam keadaan semakin lemah, jadi Encik Aman pun meleraikan dron-dron dan bersedia untuk menamatkannya. Tanpa disangka, Grakakus menyeru pancaran kilat dari kapal angkasa yang terlindung dalam awan gelap untuk menembak jatuh Maskmana.

Amato gembira melihat MechaBot dalam keadaan semakin pulih. Tok Sah dengan rasa kesal memberitahu Amato bahawa MechaBot sedang dipisahkan daripada Amato kerana perlu digunakan oleh Maskmana untuk menggunakan Grakakus. Amato merayu kepada Tok Sah untuk tidak dipisahkan, namun Tok Sah menegah kerana bahaya jika Amato terus memiliki MechaBot. Amato memujuk bahawa dia mengikut nasihat Tok Sah untuk bertanggungjawab dan oleh itu tidak baik dia melarikan diri dari tanggungjawab apabila timbul bahaya, malah dia menceritakan tentang bayangan yang dialaminya tentang kisah tuan lama MechaBot. MechaBot menyoal Amato hendak senasib dengan tuan lamanya, maka Amato menegaskan MechaBot adalah tanggungjawabnya. MechaBot mengeluh lagi tidak ingin bertuankan Amato kerana takut akan kehilangan kawan lagi, jadi Amato pun memerli dan mengusik-usik Power Sphera itu. Tok Sah merenungi pujukan Amato dan interaksinya dengan MechaBot lalu bertindak sewajarnya.

Encik Aman dalam keadaan cedera parah dan situasi bertambah cemas. Tok Sah dari makmal mengingatkan bahawa tulang belakangnya sudah patah. Grakakus menghampiri musuhnya dengan tersengih, mengeluarkan cacian sambil menuntut MechaBot. Encik Aman tetap enggan, maka Grakakus menendang musuhnya dan mengugut untuk membunuh tebusan-tebusan dalam kapalnya. Encik Aman yang sudah tidak terdaya seram melihat anaknya Pian bersama Mara dalam kalangan tebusan yang kelihatan dalam kurungan kaca di bawah kapal Grakakus; yang juga tertangkap ialah Bula dan Bili. Datuk Bandar Andy yang masih berselindung dalam runtuhan menggesa Tok Sah untuk datang mengambil alih. Pada ketika inilah dari lif helipad munculnya susuk pemakai baju perisai merah; Aman memandangnya dan menyangka MechaBot sudah dipisahkan.

Rupa-rupanya yang keluar ialah Mechamato, menyebabkan Encik Aman dan Andy tergempar. Tok Sah memperakui keserasiannya dengan Amato dan oleh itu memberhentikan pemindahan kuasa dan memulangkan hak MechaBot kepada Amato. Namun begitu, kemunculan semula Mechamato keluar menghadap belakang dari Grakakus dan hanya sedar setelah diherdik. Mechamato mendongak ke langit dan melihat Pian dan Mara dalam kalangan tebusan. Dipersoal oleh Aman dan Andy, Asah meminta mereka untuk mempercayai Amato.

Grakakus memulakan pertarungan dengan melancarkan jejarinya secara bertubi-tubi, membuat Mechamato berhempas-pulas mengelak sehingga tercampak. Sementara Grakakus mengeluarkan bebola kilat, Amato segera mengambil mop, baldi pemerah mop dan papan tanda amaran lantai licin yang berdekatan dan me-mechanize semua alat itu menjadi suatu senjata khas untuk menyerang muka Grakakus. Grakakus menangkis dengan mengatupkan topengnya, tetapi Amato melakukan niat sebenar dengan mengeluarkan rambu mop dan menggosok-gosok mukanya.

Grakakus naik rimas dan mengeluarkan semula jejarinya. MechaBot menjadi kaku apabila melihat senjata Grakakus, menyebabkan Mechamato tidak dapat bergerak dan menangkis serangan. Amato memesan MechaBot untuk menutup mata dan menyerahkan segala pergerakan kepada dirinya. MechaBot pun patuh dan Amato pun membalas serangan Grakakus dengan senjatanya. Grakakus melontarkan bebola kilat ke arah musuhnya, namun Mechamato berjaya mengelak, meluru ke arah Grakakus dan mematahkan sayap kirinya.

Grakakus dalam keadaan genting menyeru kapal angkasanya menjatuhkan semua tebusan, maka Pian, Mara, Bula, Bili dan lain-lain pun menjunam dari paras tinggi. Encik Aman menahan sakit sambil menghalakan Dron Kerisis ke arah tebusan-tebusan. Hampir semua dapat diselamatkan, kecuali Pian dan Mara kerana dron-dron yang hendak menyambut mereka ditembak jatuh oleh Grakakus. Aman bertindak memecut ke bibir helipad untuk cuba menyelamatkan dua pemuda itu tanpa menghiraukan amaran Andy dan Asah tentang tulang belakangnya. Dia sempat menyambut Pian dengan berpaut pada pancang di bibir pelantar, ditarik ke atas semula dan membongkar rahsianya kepada anaknya.

Mechamato turut membantu dengan me-mechanize papan peti kayu menjadi papan luncur udara lalu menyelamatkan Mara. Sebaik sahaja menurunkan Mara, Mechamato ditangkap dan dicengkam oleh Grakakus dengan jejarinya dan menggesa MechaBot untuk membuka mata yang sudah lama pejam. Sebaik sahaja MechaBot mencelikkan mata, Grakakus mencabutnya keluar dari badan Amato dan menghumban Amato keluar dari pelantar. MechaBot dan lain-lain hancur luluh sementara Grakakus terbahak-bahak cuba menggabungkan dirinya dengan Power Sphera itu.

Akan tetapi, Grakakus hampa apabila menyedari MechaBot hanya berpura-pura bercantum, menandakan Amato masih hidup; dia sedang bertaut pada helikopter yang tergantung di bibir helipad. Oleh itu, MechaBot mengambil kesempatan dengan menembak jatuh Grakakus dan pergi menyelamatkan Amato. Grakakus datang menembak jatuh bangkai helikopter itu, membuat mereka jatuh lagi. Amato lekas me-mechanize helikopter menjadi jentera Mega Mechamato dan timbul semula. Grakakus rimas melihat musuhnya kembali dan melemparkan lagi jejarinya, tetapi Mega Mechamato menangkap jejari kabel itu dan melibas-libas Grakakus ke sana-sini. Grakakus segera bangun dan menukarkan jejari menjadi gerudi, tetapi Mechamato sempat menangkis, maka mereka bertolak-tolakan sehingga Mechamato mencampak Grakakus ke arah satu lagi helikopter yang berlabuh di pelantar.

Grakakus masih bertahan dan terus melonjak ke arah Mechamato. MechaBot kaku lagi melihat musuhnya, tetapi Amato sempat mengawal sutnya untuk terbang dan mengelak dari dihentam. Sambil mengelak tembakan bertubi-tubi, Amato sekali lagi menggesa MechaBot memejamkan mata, tetapi MechaBot kali ini tekad untuk menghadapi musuh bersama sebagai Mechamato. Mega Mechamato dibawa meluru ke arah Grakakus dan melakukan Tepukan Monyet yang kencang, menyebabkan baju perisai Grakakus pecah. Mechamato juga menerima Dron Kerisis daripada Encik Aman dan menukarkannya menjadi MechaKerisis untuk menetak musuhnya. Grakakus terjunam menembusi kapal angkasanya sehingga menimpa tanah. Kapal angkasa itu pun ditembak jatuh oleh Mega Mechamato. Grakakus bangun lagi dari jatuh dan terus mengugut Mechamato, tetapi akhirnya habis ditimpa kapal angkasanya. Amato dan MechaBot meraikan kejayaan besar dan pergi memapah Encik Aman yang cedera parah.

Peleraian[]

Encik Aman dikejarkan ke Hospital Hilir untuk dirawat. Beberapa hari kemudian, dia ditemani oleh Pian dan Datuk Bandar Andy di dalam wad dan diziarahi oleh Amato dan MechaBot bersama Mara dan Tok Sah. Tok Sah berpesan kepada rakannya yang terlantar untuk bersabar kerana pasti ada hikmah di sebalik kejadian. Amato menanya Pian tentang keadaan bapanya, maka Pian pun termenung. Andy tolong menjawab bahawa Encik Aman sudah lumpuh, maka Amato berasa serba salah dan meminta maaf kepada Encik Aman. Encik Aman berterima kasih kepada Amato kerana menyelamatkan keadaan malah menyebutnya sebagai pewaris Maskmana. Andy membantah kerana masih ada dirinya dan Tok Sah, namun Tok Sah memujuknya untuk mempercayai pemuda itu.

Jam tangan Datuk Andy dan Tok Sah berbunyi menandakan gangguan robot dikesan, maka mereka pun hendak bergerak. Amato meminta tugas diserahkan kepadanya dan MechaBot, tetapi MechaBot didapati bermalas sambil mencuri makan buah tangan. MechaBot membuat alasan mahu berehat kerana hari ini hari Sabtu, tetapi Amato berpesan bahawa wira tiada hari cuti. MechaBot mengeluh zaman apa kerja setiap hari, maka Amato menekan mod Sopan pada Mechanizer dan bertanya lagi sama ada robot ada bercuti. MechaBot dengan jinak mengaku dirinya robot hamba dan hamba tiada cuti. Dengan itu, Amato bergabung dengan MechaBot menjadi Mechamato dan melompat keluar dari tingkap untuk bergegas ke tempat kejadian.

Epilog[]

Bertahun-tahun kemudian, kisah Mechamato bertarung dengan Grakakus disampaikan juga oleh Amato yang sudah dewasa kepada anak lelakinya, BoBoiBoy yang sedang duduk di atas MechaBot. BoBoiBoy kagum dengan cerita itu dan menyuarakan keinginan untuk memiliki Power Sphera seperti bapanya. Setelah berfikir sejenak, Amato merelakan dan bertanya warna apa yang dimahukan oleh anaknya. BoBoiBoy memilih warna kuning, jadi Amato pun terus membuat tempahan sewajarnya pada Mechanizer.

Isteri Amato sudah memanggil untuk makan, jadi Amato meletakkan Mechanizer dan menjulang BoBoiBoy sambil berpesan untuk menunggu sehingga besar baru dapat Power Sphera. BoBoiBoy tetap seronok dan menyuarakan kesanggupannya untuk menunggu. Tanpa disedari, pada skrin Mechanizer terpapar sistem penerima tempahan menugaskan penghantaran Power Sphera BoBoiBoy kepada makhluk hijau berkepala kotak.

Barisan pelakon dan watak[]

Maklumat lanjut: Mechamato Movie/Kredit

  • Armand Ezra sebagai Amato, watak protagonis. Seorang pemuda yang panjang akal dan cepat menyelesaikan masalah. Mempunyai bakat dalam reka cipta, tetapi kurang pandai melukis. Anak latih silat yang rela mengakali daripada mengasari lawannya.
  • Adzlan Nazir sebagai MechaBot , watak utama sekunder. Robot Power Sphera merah yang memberi penggunanya kuasa Mechanize, iaitu menukar benda sembarangan menjadi senjata canggih atau dipakai sebagai sut perisai. Bergabung dengan Amato menjadi Mechamato.
  • Fadhli Rawi sebagai Jeneral Grakakus, watak antagonis utama. Bekas panglima tentera yang menjadi pengumpul Power Sphera berjenis perisai. Memburu MechaBot dari angkasa untuk menyempurnakan baju perisainya yang sudah dilengkapi dengan pelbagai senjata.
  • Ielham Iskandar sebagai Pian, sahabat akrab Amato dan anak kepada Encik Aman. Hidup dalam keadaan serba mewah tetapi membawa diri sebagai orang biasa.
  • Marissa Balqis sebagai Mara, gadis berkerusi roda yang baru pindah ke Kota Hilir dan menghadiri sekolah sama dengan Amato dan Pian.
  • Syabil Syamin sebagai Deep, rakan sekelas Amato, Pian dan Mara yang dikenali dengan reka cipta yang serba ringkas tetapi disambut baik oleh gurunya.
    • Syabil juga sebagai Cikgu Jamie, guru reka cipta kelas Amato.
  • Feroz Faizal sebagai Aman Askandar, bapa kepada Pian dan empunya syarikat Destar Corporation. Pencipta pelbagai barang berteknologi canggih seperti sut dan persenjataan Maskmana.
    • Feroz juga sebagai Troket, robot banduan dan jaguh arena tempur Penjara Angkasa.
  • Fazreen Mohd sebagai Asah / Tok Sah, guru silat Amato dan rakan usaha sama Aman dalam projek Maskmana.
  • Hazzley Abu Bakar sebagai Andy Tau, Datuk Bandar Kota Hilir dan rakan usaha sama Aman dalam projek Maskmana.
  • Anas Abdul Aziz sebagai Tok Aba, bapa kepada Amato dan peniaga koko.
  • Siti Salwa Samsudin sebagai Umi, Isteri Tok Aba dan ibu kepada Amato.
  • Nizam Razak sebagai Bula, pembuli yang memburu dan menganiaya mangsa mengikut jadual.
    • Nizam juga sebagai Bago Go, banduan Penjara Angkasa yang bukan robot.
  • Muhammad Azrul Fazlan Hamdan sebagai Bili, orang kanan Bula.

Pengeluaran dan pemasaran[]

CEO Monsta, Nizam Razak mendedahkan pada tahun 2020 bahawa Mechamato Movie diterbitkan serentak dengan siri animasi Mechamato sebagai satu projek tunggal, bahkan hendak ditayangkan sebelum siri pada akhir tahun 2020 tetapi terpaksa dianjak ke tahun hadapan akibat pandemik COVID-19 ketika itu.[1] Tarikh sasaran tayangan Mechamato Movie beralih kepada sekitar Mac 2021 dan kemudian sekitar Mei–Jun.[2]

Video penarik (treler) rasmi pertama Mechamato Movie disiarkan di saluran YouTube Monsta pada 1 Januari 2021 dengan mengumumkan Astro Shaw sebagai ko-produksi, pengedar serta membayangkan perancangan untuk ditayangkan di pada tahun berkenaan. Namun memandangkan keadaan pandemik masih berlarutan, pihak Monsta pada 15 Jun mengumumkan terpaksa menundanya ke tahun berikutnya, menandakan bahawa ia akan tayang selepas keluarnya siri Mechamato di Cartoon Network.[3]

Pada 15 September 2022, pihak Monsta mengumumkan bahawa tarikh tayangan Mechamato Movie ditetapkan pada 8 Disember 2022 di seluruh pawagam Malaysia dan Brunei.[4] Video penarik kedua disiarkan di saluran YouTube Monsta pada 8 November 2022. Pada 2 Disember menjelang pembukaan tayangan, video 10 minit pertama filem dimuat naik di saluran sama sebagai langkah mempromosikan filem.[5]

Nizam Razak mendedahkan bahawa pihaknya mula-mula menyasarkan tarikh keluaran 1 Disember dengan permohonan di bawah Skim Wajib Tayang, tetapi oleh sebab kuota tarikh berkenaan sudah dipenuhi, mereka terpaksa berpuas hati dengan slot 8 Disember. Ini menyebabkan Mechamato Movie dilaporkan mengalami pemotongan waktu tayangan yang ketara pada hujung minggu kedua kerana bertindih dengan Avatar: The Way of Water yang banyak membolot. Namun begitu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa pihak pawagam akhirnya bersetuju untuk menambah waktu tayangan Mechamato Movie setelah dicampuri pihak FINAS.[6]

Selepas Malaysia dan Brunei, diumumkan bahawa Mechamato Movie memasuki pawagam Indonesia pada 1 Mac 2023 di mana CBI Pictures bertindak sebagai pengedar manakala Singapura pada 9 Mac dengan alih suara bahasa Inggeris dari Miami.

Pencapaian[]

Mechamato Movie mula ditayangkan di pawagam pada 8 Disember 2022 dan dilaporkan mengutip sebanyak RM1.1 juta pada hari pembukaan. Jumlah itu meningkat kepada RM3 juta pada hari ketiga, dan Mechamato Movie menjadi juara carta kutipan pawagam pada hujung minggu berakhir 11 Disember. Kutipan meningkat lagi kepada RM10 juta pada hari keenam, RM18 juta pada hari ke-11 (apabila ia dilaporkan mencapai jumlah sejuta tontonan oleh Astro Gempak),[6] dan RM22.5 juta pada hari-15. Pada hari ke-22 (29 Disember), ia mengatasi Ejen Ali: The Movie dan filem anaknya, BoBoiBoy Movie 2 menjadi filem animasi tempatan paling laris dalam sejarah Malaysia dengan jumlah kutipan RM30.75 juta. Ia juga berjaya mengalahkan filem aksi ketenteraan Malaysia iaitu PASKAL dan Air Force The Movie: Selagi Bernyawa. Setakat hari ke-28 (4 Januari 2023), ia mencapai kutipan RM34 juta. Setelah 14 minggu ditayangkan (di mana ia merupakan filem Malaysia terlama ditayangkan), kutipan tempatan filem ini mencecah RM35.88 juta dan berada di kedudukan keempat dalam senarai filem kutipan tertinggi di bawah Hantu Kak Limah sebelum filem terbitan utama Astro Shaw, Polis EVO 3 mengatasi mereka hanya selepas 16 hari (RM41 juta).

Pelakon dan krew[]

Untuk melihat senarai lengkap semua kakitangan dan pelakon yang telah bekerja pada Mechamato Movie, pergi Mechamato Movie/Kredit.

Pelakon Suara Watak
Nizam Abd Razak Bula
Muhammad Azrul Fazlan Hamdan Bili

Muzik[]

Skor muzik Mechamato Movie digubah oleh Yuri Wong, Nur Sharmine Md Bakri dan Simmy Lor. Lagu tema rasminya ialah "Temaniku" yang dinyanyikan oleh YonnyBoii dan digubah bersama oleh beliau dan Fitri Zain serta diterbitkan oleh Kee Yong Pin.

Galeri

Klik di sini untuk melihat galeri gambar untuk Mechamato Movie.
Klik di sini untuk melihat galeri.


Video[]

Rujukan[]


Pautan luar[]

ls Episod
Musim 1
Kemunculan Koncho-KonchoDi Bawah Paras BekuSistem Pertahanan RubikaCabaran Labirin AmazeeyJangan Cari Pasal dengan Janitoor!Ninja Media SosialPencuri Seni LukisKaraoke SumbangTeknologi RetroApi Jadi LawanJaguh Segala JaguhDunia BlokLegenda Sumorai
Musim 2
Asam Garam KecamMisteri Penunggu SekolahRehabilitasi RobotRampasan Takhta BlokPerangkap ArkedPertembungan Kitar SemulaPerlumbaan Destar PrixKon-nichi-wa!Diva di AwanEmpayar Papan PermainanRancangan Tumpang ToopeeMasalah Kecil: Bahagian 1Masalah Kecil: Bahagian 2
Musim 3
Serangan Si ItikDengar Cakap MamiDemam Media SosialPiramid FulusWayang BayangSelamat Datang ke RobojayaV untuk VendatorSeteru SeniKebangkitan Koncho RangersSeni RoborigamiMasalah KusutChachix KembaliDendam MaskChachix
Filem
Mechamato MovieMechamato Movie 2
Advertisement